Tuesday 5 June 2012

Tumpahnye airmata milik zizan razak

Asslmualaikum uols..ariny nk share ag artikel tntg SS..wlaupown SS dah 4 ary melabuhkan tirainya, kehangatan nya masih dirasai malah mcm2 cerita ade di akhbar2..ariny ade ag tntg abg zizan dlm paper metro..jomlah bace same2-


Air mata Zizan tumpah

Oleh Murshid Eunos
murshid@hmetro.com.my

     
HANYA linangan air mata menjadi bukti betapa terharu dan sebaknya Zizan Razak tatkala merangkul gelaran juara Super Spontan, baru-baru ini, sekali gus menyingkirkan teman seperjuangannya dalam kumpulan Jozan iaitu Johan.
Walaupun menjadi juara, jarak undian antara mereka berdua tidaklah begitu jauh kerana Zizan meraih 48.7 peratus manakala Johan pula, 45.4 peratus. 

Malam itu, poket Zizan ‘tebal’ apabila meraih wang tunai RM100,000 serta sebuah Toyota Camry 2.0G, sementara Johan pula memenangi wang tunai RM50,000. 

Pertama kali bersaing sama sendiri selepas sekian lama membina nama bersama menerusi Jozan di gelanggang Raja Lawak dan Maharaja Lawak, akhirnya duo popular ini ‘dipisahkan’ sepanjang bertanding dalam Super Spontan terbitan syarikat Afdlin Shauki, Vision Works (M) Sdn Bhd. Zizan mewakili kumpulan Angsa Ganas manakala Johan bersama Beruang Comel.



Menurut Zizan kemenangannya malam ini bukanlah untuk namanya saja sebaliknya trofi juara adalah miliknya bersama Johan kerana itulah permulaan yang meletakkan namanya setinggi ini menerusi Jozan.



“Berada di gelanggang pertandingan yang mempertaruhkan bakat dengan bergantung kepada undian penonton bukanlah sesuatu yang asing buat saya. Sejak Raja Lawak lagi, saya sudah biasa dengan sistem penjurian begini, namun apa yang boleh saya katakan, semuanya bergantung kepada nasib juga. 

“Memang saya tak sangka malam ini dipilih menjadi juara. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah bosan menyokong dan percaya akan bakat yang ada. Alhamdulillah ini adalah saat paling indah buat saya kerana saya dipilih menjadi juara. Peserta lain bukannya calang-calang dan ia membuatkan saya benar-benar terharu. 

“Sebenarnya kemenangan ini adalah untuk Johan juga. Kalau tidak kerana Johan, orang tentu tidak akan kenal Jozan. Saya sifatkan Johan adalah pembakar semangat saya untuk sama-sama membina nama. Saya gembira kerana undian kami tidak jauh dan itulah bukti sokongan peminat yang yakin dengan kami berdua,” 
katanya yang ditemui pada sidang media di Kompleks Studio Merdeka, Finas. 

Tempat ketiga dimenangi Tauke yang mendapat 3.3 peratus undian dengan wang kemenangan RM25,000 serta trofi. Tiga lagi finalis - Rahim berada pada kedudukan keempat dengan 1.2 peratus, Ropie (kelima/0.8 peratus) dan akhirnya Suhaimi (0.4 peratus). Masing-masing menerima hadiah sagu hati RM5,000 dan trofi. 

Pentas akhir Super Spontan yang diacarakan Adibah Noor itu melihat persaingan secara individu berbanding persaingan antara dua kumpulan, Angsa Ganas dan Beruang Comel sebelum ini. Zizan, Suhaimi dan Tauke mewakili Angsa Ganas manakala Beruang Comel pula membariskan Johan, Ropie dan Rahim. 

Ditanya kepada Zizan mengenai populariti dirinya yang memberikan kelebihan sehingga menjadi juara, anak jati kelahiran Terengganu ini bagaimanapun menyifatkan ia bukan jaminan atau jalan mudah kepada kemenangan itu. 

“Populariti saya bukanlah faktor utama yang membawa saya kepada kemenangan malam ini atau memberikan kelebihan untuk menang kerana penonton juga melihat gaya persembahan dan jenaka seseorang peserta. 

“Sebelum ini banyak kali juga kumpulan Beruang Comel memenangi undian mingguan kerana komedi mereka berjaya menarik perhatian ramai. Ada saja jenaka mereka yang mencuit hati saya selaku pesaing di pihak lawan. Saya percaya undian penonton bergantung kepada tahap kelucuan aksi spontan kami. 

“Namun, berada di gelanggang ini bersama sahabat lain adalah pengalaman paling menyeronokkan buat diri saya,” katanya lagi. 

Sebanyak lima segmen permainan dipertandingkan malam akhir itu bagi mencari peserta terbaik termasuk Beku, Sketsa Dari Topi Puaka, Pilihan Lain, Ciptaan dan Laguku Untukmu. 

Menurut Afdlin yang juga pencetus idea asal Super Spontan, melihat kepada keseluruhan perjalanan penerbitan program ini, ia dianggap berjaya. 

“Alhamdulillah idea saya direalisasikan dengan sempurna oleh semua barisan peserta. Saya sememangnya bertuah kerana mendapat peserta yang semuanya bersahaja dan berjaya membuatkan segala permainan yang saya usulkan menjadi dengan begitu baik sekali. Saya berpuas hati dan pastinya akan memikirkan idea yang jauh lebih baik untuk musim akan datang,” katanya. 

Hadiah disampaikan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh yang turut mengumumkan Super Spontan akan kembali pada musim kedua tahun depan dan Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani. 

Malam akhir itu turut diterajui Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Amir (Raja Lawak) selaku pengulas tetap. Lebih menariknya, sumbangan RM5,000 turut diberikan kepada mangsa simbahan asid iaitu Mohd Rafi Abdul Latiff, 28, bagi meringankan kos rawatan pemulihan wajahnya itu. 

Pentas akhir Super Spontan disiarkan secara langsung pada Jumaat jam 10 malam menerusi tiga saluran serentak iaitu Astro Warna (Saluran 132), Astro Mustika HD (Saluran 134) dan SingTel Mio TV di Singapura.

No comments:

Post a Comment